
Apabila kita bercadang melakukan sesuatu pastinya kita mempunyai objektif tertentu, dalam konteks ini apakah yang diperolehi para pen-'demons'-trator? Selain daripada siraman daripada water canon Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), dicelikkan mata dek gas pemedih mata dan tindakan keras polis (sebab anda telah melakukan provokasi terhadap pasukan keselamatan) dan dibasahi oleh hujan petang, apa yang anda dapat?
Jawapannya - Tidak ada hasil, kosong atau zero, noktah.
Jadi, sebaliknya siapakah yang dapat sesuatu? Atau yang memperolehi hasil? Yang jelas adalah orang politik yang mendapat publisiti murahan siap dengan lakonan mantap sebagai mangsa kekejaman pihak berkuasa sedangkan umum mengetahui (setelah meneliti pelbagai blog yang pro dan kontra kerajaan) bahawa "kecederaan" yang dialami tidaklah seperti mana yang digambarkan.
Mungkin inilah kesempatan yang terbaik untuk meraih modal politik, stunt publisiti, imej "aku dikejami rejim zalim", picture opportunity sebagai "pemimpin demokrasi ditindas kerajaan kuku besi" dan sebagainya.
Apa pun orang politik atau lebih tepat lagi mereka yang mendakwa sebagai pemimpin gerombolan pen-'demons'-trator ini sihat walafiat menginap di hotel lima bintang dan menjamu selera dengan makanan dan minuman lazat sedangkan anda para pen-'demons'-trator atau kononnya pendokong demonstrasi ini berkelana di tepian jalan, tidur di kaki lima, dalam kereta, di wakaf tepian jalan, di masjid dan surau serta menyusahkan keluarga di Kuala Lumpur dalam usaha menegakkan agenda orang politik yang bersenang lenang (termasuklah mendapat rawatan lima bintang apabila dikatakan cedera). Sekali lagi soalan yang ditanya: "Apa yang anda dapat?"
TERCAPAIKAH OBJEKTIF KITA?
OBJEKTIF utama demonstrasi ialah membantah sistem pilihan raya Malaysia yang didakwa sebagai tidak adil, kotor dan tidak telus.
Sekiranya itulah dakwaan maka saya akan turut bersetuju sekiranya daripada pilihan raya pertama pada tahun 1952 sehingga ke 2008 hanya sebuah parti yang memenangi pilihan raya-pilihan raya umum dan pilihan raya-pilihan raya kecil yang diadakan.
Dan laksana negara-negara (baca: Negara Dunia Ketiga) yang sering kedengaran memutar-belitkan sistem dan pelaksanaan pilihan raya untuk memenangkan parti pemerintah sahaja maka rakyat tidak mempunyai pilihan selain meluahkan perasaan mereka di jalanan dan berusaha menumbangkan kerajaan yang dikatakan zalim.
Rakyat di negara-negara berkenaan mempunyai justifikasi sepenuhnya untuk berarak di jalanan untuk membantah kerajaan, menumbangkan sekiranya perlu dan seterusnya mengembalikan kuasa rakyat untuk masa depan yang lebih sempurna.
Saya akan turut sama bersetuju sekiranya kita rakyat negara ini tidak mampu berbuat apa-apa lagi kerana segalanya dikawal sepenuhnya oleh rejim kuku besi dan hanya demonstrasi jalanan sahaja merupakan pilihan yang ada bagi kita.
Apakah kita di Malaysia bernasib yang sama? Memanglah sistem pilihan raya kita tidak sempurna namun inilah sistem yang terbaik yang kita ada selama ini dan selagi ia tidak rosak maka tidaklah perlu diperbaiki.
Sistem demokrasi di Malaysia yang diwarisi daripada penjajah British tidaklah sempurna, akan tetapi sistem inilah yang paling berkesan untuk menzahirkan suara kita - rakyat dalam pembentukan kerajaan dan pentadbiran negara.
SEKIRANYA TIDAK ADIL BAGAIMANA PEMBANGKANG BOLEH MENANG?
WALAU cacat mana sekalipun sistem pilihan raya kita ini, parti pembangkang tidak pernah ketinggalan atau dinafikan daripada menyertainya, tidak pernah tidak mempunyai wakil dalam Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri daripada tahun 1952 sehingga tahun 2008.
Malahan pada tahun 2008 rakyat telah membuat kejutan dengan menambahkan bilangan wakil pembangkang di Dewan Rakyat (lantaran itu wakil mereka di Dewan Negara turut bertambah) dan memberikan mandat pemerintahan kepada parti pembangkang di lima buah negeri dan menafikan majoriti dua pertiga kepada parti pemerintah.
Kini parti pemerintah bertukar menjadi pembangkang di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka yang dahulunya bergelar pembangkang.
Soalan saya adalah: "Bagaimana ia terjadi sekiranya sistem pilihan raya Malaysia tidak adil, tidak telus dan pelbagai 'tidak' lagi? Sekiranya pilihan raya kita tidak adil maka janganlah bicara parti pembangkang boleh memenangi kerusi dengan jumlah besar, mereka tidak akan dapat mengundi pun, malahan parti mereka tidak akan dibenarkan bertanding oleh parti pemerintah yang menguasai segala "perkakas" dan alat kerajaan dengan tujuan menjalankan pemerintahan autokratik.
Sekiranya sistem pilihan raya kita tidak adil atau tidak telus atau zalim maka parti pembangkang akan sentiasa dinafikan hak mereka berkempen, bertanding, memerintah dan membuat pelbagai lagi, termasuklah mendatangi ibu kota untuk melakukan demonstrasi jalanan!
Sekiranya pilihan raya negara kita tidak adil maka seseorang pemimpin parti pembangkang itu tidak akan berupaya dipilih ke Dewan Rakyat mulai tahun 1969 sehingga sekarang, dan boleh pulak membawa sekali anak beranak, abang adik, isteri, suami dan ipar duai ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Malahan ada antara mereka yang berupaya memenangi dua kerusi - Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri serentak!
Sekiranya sistem pilihan raya kita tidak adil, kotor dan tidak telus maka parti pembangkang tidak akan merasa segalanya itu termasuklah dilantik sebagai Ketua Pembangkang dan menerima elaun khas serta mempunyai sebuah pejabat di Bangunan Parlimen.
Sekiranya sistem pilihan raya kita tidak adil maka parti pembangkang tidak akan berupaya memenangi pilihan raya-pilihan raya kecil seperti di Parlimen Permatahng Pauh, Parlimen Bukit Gantang, Parlimen Sibu, DUN Penanti, DUN Bukit Selambau dan pelbagai lagi. Sejak Pilihan Raya Umum 2008 yang membuka mata dunia bahawa jelas sekali sistem pilihan raya di Malaysia adalah adil, tidak kotor dan telus kerana cabang Legislatif di Malaysia turut dizahirkan dengan parti pembangkang.
Sekiranya sistem kita tidak adil maka parti pembangkang tidak akan dapat memerintah di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan untuk seketika di Perak.
Maka soalan saya ialah "Apakah sistem pilihan raya kita dikatakan adil, tidak kotor dan telus apabila parti pembangkang menguasai kesemua kerusi Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri?" Apakah ia dikatakan adil hanya apabila parti pembangkang memerintah Kerajaan Pusat dan kesemua kerajaan negeri?
Soalan yang terakhir saya: Apakah yang saya dapat? Yang saya dapat adalah melihat bangsa saya diperkudakan, diperalatkan dan dibodohkan untuk agenda besar bukan Melayu dan bukan Islam untuk menjatuhkan pemerintahan orang Islam di Malaysia yang didalangi oleh kuasa asing. Saya juga dapat melihat bagaimana pentadbiran yang ada hari ini amat bertolak ansur dalam menghadapi ancaman kepada keselamatan negara.
Apa yang saya tidak dapat? Saya tidak dapat ke Jalan Tuanku Abdul Rahman di tengah-tengah Kuala Lumpur bersama-sama warga kota yang lain untuk membuat persediaan menghadapi Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.
Saya juga tidak dapat menunaikan hak saya sebagai rakyat negara ini untuk memasuki ibu kota Kuala Lumpur hanya kerana segelintir orang lain berpendapat mereka mempunyai hak untuk menafikan hak saya dan hak rakyat yang lain.
Saya juga tidak dapat menikmati hak saya untuk bersantai pada Sabtu 9 Julai 2011 hanya kerana ada orang lain ingin menunaikan hak mereka untuk memperbaiki sesuatu yang tidak pun rosak. Apa yang anda dapat?
Oleh ZUKRI VALENTENO
Nota kaki:
Inilah yang dikatakan seribu satu tolol. betapa bengap pemikiran satu puak ini yang menyalahkan polis mengganggu kejahatan mereka. Sebelum ini aku ada mendengar dialog seperti itu diucapkan oleh perompak dalam filem jenayah- polis pengacau! Senanglah perompak-perompak ini nanti apabila berkuasa kelak pasukan polis boleh diganti pasukan burung tiung dan belatuk...Mana nas pulak mengatakan demonstrasi halal. Tak sabar-sabar puak ini nak ambil alih JAKIM. Tak halal pun sebab mengadakan adu-domba ini selari dengan kerja-kerja syaitan. Lainlah kalau ada nas membenarkan manusia bersekutu dengan syaitan untuk menegakkan benang basah masing-masing. Hentikan....
No comments:
Post a Comment