Kamus Dewan memberi makna merdeka sebagai (1) bebas daripada penjajahan, kurungan dan naungan; (2) lepas daripada tebusan dan tuntutan; (3) berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain. Dengan kata lain kemerdekaan adalah langkah kebebasan kita mengatur hidup serta membangun negara dengan acuan kita sendiri. Namun saya yakin tidak ramai rakyat Malaysia menterjemah makna merdeka mengikut Kamus Dewan. Rakyat Malaysia gemar menterjemahnya mengikut selera sendiri.
Jadi apa makna kemerdekaan yang boleh kita gunakan sebagai sandaran acuan kehidupan kita? Sebagai kelompok terbesar daripada keseluruhan rakyat Malaysia, umat Islam seharusnya dapat mengutip makna kemerdekaan tersebut daripada al-Quran. Dalam kitab suci ini ditunjukkan pelbagai kisah kemerdekaan orang-orang terdahulu yang dapat mengilhami kita, bagaimana seharusnya menjadi bangsa merdeka dalam era globalisasi ini.
Pertama, makna kemerdekaan dapat dipetik daripada kisah Nabi Ibrahim a.s ketika baginda membebaskan diri daripada orientasi asasi yang keliru dalam kehidupan manusia. Dalam surah al-An’am ayat 76-79 dikisahkan perjalanan kerohanian Nabi Ibrahim a.s. dalam mencari Tuhan. Pencarian kerohanian tersebut merupakan usaha Nabi Ibrahim a.s.dalam membebaskan hidup daripada orientasi kehidupan yang diyakininya keliru, namun hidup subur dalam masyarakatnya.
Sebagaimana diketahui, masyarakat yang melingkungi Ibrahim a.s ketika itu menyembah berhala. Bagi Ibrahim a.s, peyembahan terhadap berhala merupakan kesalahan besar kerana secara logiknya pun perbuatan itu membawa manusia kepada perlakuan penghambaan yang menjatuhkan harkat dan martabat diri mereka sendiri sebagai manusia.
Kedua, makna kemerdekaan juga dapat dipetik daripada kisah Nabi Musa a.s ketika membebaskan bangsanya daripada penindasan Firaun. Kekejaman Firaun terhadap Bani Israil dikisahkan menerusi pelbagai ayat di dalam al-Quran. Firaun merupakan ‘bayangan masyarakat’ yang angkuh serta tamak dengan kekuasaan di muka bumi yang fana ini.
Keangkuhan pemimpin atau penguasa seperti ini membuat mereka tidak segan silu membunuh dan memperhambakan kaum lelaki Bani Israil dan menistakan kaum wanitanya. Keangkuhan inilah yang mendorong Musa a.s tergerak memimpin bangsanya untuk membebaskan diri daripada penindasan, dan akhirnya meraih kemerdekaan sebagai bangsa yang mulia dan bermartabat (Al-A’raaf: 127, Al-Baqarah: 49, dan Ibrahim: 6)
Seterusnya mari kita menyingkap pula makna merdeka bagi pelbagai golongan masyarakat di negara kita. Jelas sekali makna merdeka bagi para petani yang membanting tulang di bendang dari pagi sampai ke petang tidak sama dengan makna merdeka taukeh gerai berseluar pendek yang menjual bubur di kaki lima bangunan. Begitu juga makna merdeka bagi penoreh getah yang hanya kenal laluan merah dalam estet berbeza dengan pegawai bank yang bergaji lima angka.
Makna merdeka juga berbeza antara seorang peragut yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dengan anggota polis yang menangkapnya serta Tuan Hakim yang menjatuhi hukuman. Malahan makna merdeka juga tidak sama antara penduduk Semenanjung dengan saudara kita di Sabah dan Sarawak. Merdeka bagi orang Melayu berbeza dengan orang Cina, India, Iban, Kadazan, Serani, Siam dan Orang Asli. Lebih jelas makna merdeka bagi yang memerintah dengan yang diperintah juga tidak kurang amat ketara bezanya.
Jadi, apakah makna merdeka bagi rakyat Malaysia yang pelbagai kaum, beraneka budaya dan berlainan bahasa ini?
Merdeka bagi pesawah ialah padinya tumbuh subur dan hasil tuaiannya boleh menyara keluarga sehingga ke musim depan. Merdeka bagi nelayan ialah sampannya tidak pulang kosong. Merdeka bagi orang makan gaji ialah kenaikan gajinya tidak terbantut dan bonusnya lumayan. Merdeka bagi peniaga ialah kenaikan harga barangan merupakan peluang keemasan mendapat keuntungan atas angin.
Merdeka bagi penyamun dan perompak ialah keselamatan diri agar tidak tertangkap. Apabila tertangkap, kalau tidak mayat dalam lokap, pasti bangkai bernyawa dalam penjara. Merdeka bagi penzina agar tidak diserbu pencegah maksiat. Jikalau terperangkap, malu besar jadinya.
Merdeka bagi golongan reformis adalah agar esok semuanya berwajah baru sebagaimana yang diimpikan.
Merdeka bagi pejuang demokrasi ialah ketulusan dalam pilihan raya dan tidak berlaku jual beli undi. Merdeka bagi golongan kapitalis atau pemodal ialah keuntungan berlipat ganda. Nilai kemanusiaan boleh diketepikan. Prinsip moral tidak membawa sebarang makna. Agama pula lebih sekadar hiasan bukan pedoman. Wang ringgit menjadi kuasa penentu keputusan.
Merdeka bagi golongan yang berkuasa ialah mengekalkan kuasa dengan apa cara dan upaya. Tanpa kuasa semuanya kosong belaka. Maka jikalau hilang kuasa maka jadilah seperti ayam jantan digigit tungau. Oleh itu, segala usaha bagi mengekalkan kuasa dikira halal. Memfitnah, menipu, memperdaya, menyeksa dan membunuh seolah-olah tidak salah. Semuanya bisa diatur, diarah dan dipaksa.
Manakala merdeka bagi mereka belum berkuasa ialah perlumbaan untuk mendapatkan kuasa. Usaha mendapatkan kuasa itu wajib dilipatgandakan walaupun terpaksa menjual prinsip, bergadai akhlak, berkorban sahabat, semua rela dilakukan demi kuasa dalam genggaman.
Merdeka bagi orang muda ialah kebebasan total tanpa batasan. Hidup tanpa jatidiri malah tanpa sedar memperhambakan semula jatidiri penjajah. Merdeka bagi orang tua pula ialah tidak dibuang ke rumah warga emas pada penghujung usia oleh anak-anak emas mereka dahulu.
Begitu banyak dan beragam makna merdeka bagi rakyat Malaysia. Kerana banyak dan beragama inilah menyebabkan ramai yang terkeliru dan tidak kurang terlajak perahu. Dalam tidak tahu makna merdeka itu mereka menceduk pula makna merdeka dari negara-negara yang kononnya bebas tetapi terpenjara oleh kemelut jatidiri pemimpinnya. Maka apakah makna sebenar merdeka bagi negara yang kita cintai bernama Malaysia ini?
Tepuk dada tanya iman dan jatidiri sendiri...bukan tanya Siti Inshah dan Namawee...
No comments:
Post a Comment