Make Money With Paypal

Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

$$$ GET MONEY BY RIXTY $$$

Make Money When You Sleep

FREE CLICKS TO FULL YOUR PAYPAL ACCOUNT!!

DUIT PANTAS!! DOLLAR TO RM!!

Sunday, March 14, 2010

ISU PERKAHWINAN KANAK-KANAK

KUALA KRAI, 13 Mac — Seorang kanak-kanak perempuan, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh berusia 41 tahun dan dilarikan lelaki terbabit telah ditemui di sebuah masjid berhampiran Batu Caves, Selangor, semalam.

Siti Sarnan Mat Ail, 42, ibu kanak-kanak itu berkata, beliau dihubungi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan mengenai penemuan anaknya itu.

“Kira-kira pukul 6.30 petang semalam saya terima satu panggilan dari seorang lelaki yang memberitahu anak saya berada di sebuah masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera dekat Batu Caves.

“Mulanya saya ragu-ragu kerana tidak mungkin anak saya dibawa hingga ke Selangor tetapi apabila dibenarkan bercakap dengan anak saya barulah saya percaya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, sebaik mengetahui anaknya ditinggalkan di surau terbabit, beliau segera menghubungi salah seorang saudaranya yang menetap berhampiran Batu Caves supaya pergi menemui Siti Nur Zubaidah.

“Saudara kakak kemudian menemui Siti Nur Zubaidah dalam keadaan lemah tidak bermaya dan membawanya ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan penemuan sebelum membawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Ketua Polis Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan separuh sedar di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera Batu Caves oleh bapa saudara kanak-kanak itu pada kira-kira pukul 7.15 malam.

Siti Sarnan berkata, sehingga kini anaknya itu masih dirawat di hospital terbabit dan beliau dimaklumkan saudaranya, Siti Nur Zubaidah berada dalam keadaan stabil tetapi enggan bercakap kerana masih dalam keadaan trauma.

“Mungkin dia lemah kerana tidak makan dan trauma apabila dilarikan lelaki itu sehingga ke Selangor. Saya tidak sabar untuk berjumpa anak saya itu setelah 20 hari dia hilang,” katanya.

Siti Sarnan berkata, beliau dan suaminya meneruskan perjalanan ke Selangor pagi ini untuk menemui Siti Nur Zubaidah.

Sebelum ini, Siti Nur Zubaidah, dikahwinkan bapanya Hussin Mat Salleh, 54, kepada Shamsuddin Che Derahman, lelaki tabligh berusia 41 tahun selepas diperdaya bahawa perbuatan itu mengikut Sunnah Nabi Muhammad. Enakmen Keluarga Islam Kelantan menetapkan syarat umur berkahwin bagi perempuan minimum 16 tahun ke atas.

Siti Sarnan kemudian membuat laporan polis pada 25 Februari lalu.

Sementara itu, isteri pertama lelaki terbabit, Rohana, 33, berkata, sehingga kini suaminya yang dikenali sebagai “Sudin Ajaib” itu tidak menghantar sebarang berita atau menghubunginya.

“Saya tidak tahu ke mana suami saya menghilang dan turut berusaha mengesannya sebelum ini, syukurlah Siti Nur Zubaidah ditemui,” katanya.

Sementara itu, Siti Sarnan berkata, beliau masih mengharapkan orang ramai yang melihat lelaki terbabit yang menaiki kereta Proton Iswara berwarna putih milik suaminya dengan nombor pendaftaran BEF 7599 supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Menurutnya, beliau bersyukur anaknya ditemui dalam keadaan selamat dan mengharapkan lelaki itu ditahan polis bagi mengelakkan kanak-kanak lain menjadi mangsa. — Bernama

Rujukan: Di sini

Nota kaki: Hati ibubapa mana yang tidak terhiris menatap berita seperti ini. Mereka ditipu dan anak dilarikan. Apa yang berlaku disebalik kisah penipuan itu tidak kita ketahui. Mujurlah kanak-kanak malang ini ditemui masih selamat. Tidak seperti kes Nurin dahulu. Intisari kisah di sini adalah angkara tipudaya golongan dewasa mengakibatkan kanak-kanak yang tidak berdosa menjadi mangsa sengsara. Sengaja saya tidak masukkan foto sebenar kanak-kanak terlibat kerana kes beliau telah menjadi kes polis dan mungkin membawa kepada penangkapan mereka terlibat. Sesuatu yang kita semua harus fahami, kanak-kanak mempunyai hak untuk dilindungi dimana-mana sahaja undang-undang negara berdaulat termaktub.

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Pihak berkuasa diminta agar menyiasat kumpulan jemaah tabligh yang diketuai Shamsudin Ajaib, yang menjanjikan balasan syurga kepada ibu bapa jika kanak-kanak perempuan mereka dikahwinkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata: “Satu siasatan yang terperinci perlu dilakukan oleh pihak berkaitan kerana janji mereka itu akan menarik hati ibu bapa yang tidak berfikir panjang seterusnya memperjudikan masa depan kanak-kanak tersebut.”

Selain itu, “suami” kanak-kanak itu yang disifatkannya sebagai melampau yang menjadi punca kepada dua kes perkahwinan paksa kanak-kanak perempuan di Kelantan itu perlu dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang, katanya kepada pemberita selepas melawat Siti Zubaidah Hussin, 11, yang dipaksa berkahwin dengan lelaki tabligh berusia 41 tahun itu di Hospital Sungai Buloh hari ini.

Siti Zubaidah yang tidak dapat dijejaki sejak keluar dari rumah bersama bapanya dan Shamsudin pada 20 Feb lepas ditemui di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera dekat Batu Caves Jumaat lepas oleh lelaki yang tidak dikenali.

“Saya gesa agar tindakan undang-undang diambil ke atasnya jika penyiasatan menunjukkan berlaku pelanggaran undang-undang sama ada mengikut Kanun Keseksaan atau di bawah Akta Syariah kerana berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur tanpa kebenaran,” kata Shahrizat.

“Dia tidak bertanggungjawab... sudahlah melarikan kanak-kanak itu selama dua minggu dari keluarganya, kemudian ditinggalkan berseorangan tanpa sebarang rasa kasihan dan tanggungjawab. Mujurlah mangsa dapat diselamatkan,” katanya.

Shahrizat berkata beliau turut menghantar surat kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan agar kes tersebut dapat disiasat segera dalam memastikan tiada kejadian serupa berulang.

“Kita tidak boleh berdiam kerana kanak-kanak ini masih kecil dan perlu dilindungi. Kita juga sudah minta Jabatan Kebajikan Masyarat memberikan rawatan dari segi perubatan dan kaunseling,” katanya.

Dalam pada itu, sumber berkata kanak-kanak malang itu mengaku telah ‘‘tidur’’ sebilik dengan suaminya di sebuah hotel di ibu negara selama dua atau tiga hari selepas dinikahkan.

Bagaimanapun, mengikut sumber, kanak-kanak itu mendakwa mereka bagaimanapun tidak melakukan sebarang hubungan seksual dan suspek cuma menyentuhnya di bahu.

“Itu yang diceritakan mangsa kepada seorang doktor yang memeriksanya di sini. Banyak yang dia tidak ingat, malah dia sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh berada di surau,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Sarnan Mat Ail, 42, berkata anaknya itu meminta untuk menetap bersama bapa saudaranya di Tanah Merah, Kelantan sebaik keluar dari hospital nanti.

“Dia juga akan ditukarkan sekolah berdekatan rumah bapa saudaranya selepas hampir tiga minggu tidak ke sekolah,” katanya.

Siti Sarnan berkata anaknya kini beransur pulih dan berada dalam keadaan stabil tetapi tidak mampu bercakap banyak kerana masih dalam keadaan trauma.

Menceritakan mengenai kejadian itu, beliau berkata, Shamsudin cuba mempengaruhi dirinya agar Siti Zubaidah mengikuti lelaki itu dengan alasan untuk mendaftarkannya di sebuah sekolah tahfiz di Wakaf Baru, Kelantan.

Siti Sarnan berkata Shamsudin mendakwa anaknya itu akan dapat menghafaz Al-Quran dalam tempoh singkat jika mengikuti kelas di pusat tersebut seperti mana anak Shamsudin yang dakwa turut dihantar ke pusat tersebut.

“Dia cuba pengaruh saya dengan mengatakan jika anak tamat tahfiz, dia boleh tolong ibu bapa di akhirat namun saya tidak bersetuju kerana berasa tidak sedap hati, lagipun Zubaidah masih bersekolah.

“Meskipun saya berat hati untuk membiarkan anak saya mengikut Shamsudin, namun saya akur selepas mereka (Shamsudin dan suami) berkeras untuk membawa Zubaidah dan saya fikirkan tidak akan berlaku apa-apa memandangkan suami, Hussin Mat Salleh, 54, turut serta,” katanya.

Siti Sarnan berkata ketika Siti Zubaidah dibawa suaminya dan Shamsudin pada pagi 20 Feb lepas, anaknya telah menangis teresak-esak.

Katanya beliau tidak tahu-menahu bahawa anaknya itu akan dikahwinkan malam tersebut.

“Saya mula runsing apabila mereka tidak pulang malam itu, malah suami saya gagal dihubungi selama tiga hari. Saya kemudinnya mendapatkan nombor telefon Shamsudin dari kawannya sebelum memaksa mereka pulang.

“Bila pulang, saya lihat suami seperti kebingungan dan bercakap seperti orang hilang akal seakan-akan seperti dipukau apabila menurut sahaja kata-kata lelaki tersebut. Manakala anak saya hilang,” katanya. — Bernama.

Rujukan: Di sini

Nota kaki: Lanjutan kes melarikan kanak-kanak ini, nampaknya banyak pihak tampil memberikan ulasan di sana-sini. Tidak terkecuali imej kumpulan Tabligh juga mungkin tercalar angkara nila setitik iaitu sikap segelintir ahli yang tidak berpegang kepada prinsip sebenar kumpulan tersebut. Saya fikir sipelaku itu bukanlah seorang yang tulus dan setia berpegang kepada Sunnah Nabi SAW tetapi lebih cenderung memperalatkan sunnah untuk kepuasan diri atau nafsu semata-mata. Secara umumnya saya difahamkan bahawa kumpulan dakwah Tabligh ini tidak akan melibatkan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dalam menjalankan kerja-kerja dakwah di mana-mana ceruk dunia sekalipun kecuali kanak-kanak tersebut dibawa oleh muhrim mereka sendiri. Dalam LIMA prinsip Tabligh, menurut pengikut kumpulan berkenaan, tiada ada meletakkan sunnah berkahwin empat atau berkahwin dengan kanak-kanak sebagai anjuran Nabi. Malah mereka tahu ada sunnah yang Nabi SAW sahaja yang berhak bukan hak untuk seluruh ummat. Yang mereka utamakan dalam usaha dakwah Tabligh ialah kembali kepada IMAN dan mendirikan SOLAT. Wallahu 'alam.

No comments: