Saya tertarik membaca luahan hati dan kisah lampau mentor saya, Sdr Zamri Nanyan. Beliau memang dikenali ramai sebagai salah seorang pakar IM masakini. Sdr Zamri Nanyan turut mengembangkan Pakar Affiliate dan Bisnes GDI yang hebat diperkatakan masakini di dalam forum perniagaan internet. Mari kita hayati cerita beliau berkaitan apa ada pada nama:
Pada hari Sabtu lepas, di Pesta Buku Antarabangsa, PWTC, saya berbual dengan Tuan Azizi Ali apabila Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad (penulis buku “Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif”) datang. Tuan Azizi Ali perkenalkan saya kepada beliau dan belum sempat Tuan Azizi Ali sebutkan nama saya, Dr. Tengku Asmadi berkata, “oh, ni yang bapanya nama Nanyan, yang buat internet tu”.
Ternyata Dr. Tengku Asmadi tak kenal nama saya tapi beliau lebih ingat nama bapa saya. Saya tersenyum kerana biarlah nama saya tidak dikenali asalkan nama bapa saya disanjung tinggi. Saya akan ceritakan rahsia di sebalik senyuman saya itu sebentar lagi tetapi sebelum itu, biar saya bawa anda kembali ke zaman sekolah saya pada penghujung 80an.
Nama saya bukanlah sesuatu yang belum pernah orang lain temui sebelum ini. “Zamri” adalah nama biasa. Di mana jua anda pergi di Malaysia, anda akan dengar nama tersebut. Tiada yang pelik. Di media cetak pun anda mungkin terjumpa. Kadang-kadang, di surat khabar pun ada. Sekarang, jika anda jumpa nama “Zamri Mohamad”, anda kenal beliau sebagai seorang penulis buku. “Ustaz Zamri Zainuldin” pula adalah seorang ustaz yang anda selalu lihat di kaca televisyen.
Tetapi, nama bapa saya, “Nanyan”, adalah sesuatu yang jarang didengar dan ditemui oleh rakan-rakan saya. Jika “Nayan” (tanpa tambahan huruf n sebelum y) tu memang biasa. “Nayan” dan “Nanyan” adalah nama berbeza dan sebutannya pun berbeza.
Jadi, disebabkan nama bapa saya ini belum pernah ditemui oleh rakan-rakan sekolah saya, maka saya diejek dengan nama “Zamri Nanyang Siang Pau” (Nanyang Siang Pau adalah nama suratkhabar Cina). Kelakuan budak sekolah memang begitu. Pantang nampak sesuatu yang pelik, mereka akan persendakan.
Sedih hati saya bila mereka mempersendakan nama bapa saya. Kadang-kadang tu saya ada juga menengking mereka. Ugutan saya untuk memukul mereka jika mempersendakan nama bapa saya adalah perkara biasa, namun saya bukanlah orang yang suka melakukan perkara seperti memukul rakan sendiri. Setakat ugutan, tinggal ugutan.
Selama beberapa tahun saya memendam perasaan marah. Tak tahu marah saya kepada rakan-rakan yang selalu mengejek saya atau marah saya kepada pendaftar nama yang menulis nama bapa saya di sijil kelahiran beliau. Saya pun belum pernah dengar seseorang dengan nama “Nanyan” pada masa tersebut. Jadi, saya anggap pendaftar nama telah melakukan kesilapan.
Yang pasti, perasaan marah saya masih terpendam di dalam hati.
Sehingga tamat sekolah dan saya mula bekerja pun nama bapa saya masih lagi dipermainkan dengan nama seakan-akan nama suratkhabar Cina.
Saya pasti, jika nama anda atau nama bapa anda lain dari kebiasaan, anda juga mungkin hadapi perkara yang sama seperti yang saya alami dari tahun ke tahun.
Begitulah halnya situasi saya sehingga pada suatu hari, saya tersedar yang saya sudahpun sebenarnya mempunyai sesuatu yang luar biasa. Cuma saya tidak menggunakan kelebihan ini untuk kebaikan saya sendiri.
Lain dari yang lain = Luar biasa = Unik.
Nama bapa saya bukanlah sebarangan nama. Mungkin nama beliau juga digunakan oleh orang lain tetapi yang pasti ianya masih belum digunakan dengan meluas dan ini memberikan saya satu keistimewaan yang perlu saya gunakan sepenuhnya.
Bermula pada hari tersebut, perasaan marah saya bertukar menjadi gembira dan saya teruja dengan penemuan terbaru tersebut.
Saya nekad untuk menggunakan nama saya berserta nama bapa saya di dalam setiap promosi bisnes internet yang saya jalankan.
Biar orang kenal saya dengan nama “Zamri Nanyan” daripada cuma nama “Zamri”. Jika orang tak kenal nama saya pun, tidak mengapa. Biar nama bapa saya disebut-sebut. Inilah juga hadiah saya kepada “ayah” saya yang membesar dan mendidik saya sehingga anda kenali saya sekarang di ruangan internet ini.
Saya sudah temui “USP” (Unique Selling Proposition) saya dan ianya adalah nama saya.
“Zamri Nanyan”
Dengan menaikkan nama dan keunikan nama bapa saya, saya mula membina jenama untuk bisnes internet saya sendiri.
Di dalam setiap promosi produk yang saya jalankan, saya pasti tidak akan lupa meletakkan nama saya dan bapa saya di dalamnya.
Itulah rahsia di sebalik senyuman saya selepas Dr. Tengku Asmadi menyebut nama bapa saya apabila bersalaman dengan saya. Matlamat saya sudah tercapai – biar orang kenal nama bapa saya lebih daripada nama saya, dan saya berasa amat bangga dengan pencapaian terebut, bangga bagi pihak “ayah” saya.
Kini nama “Nanyan” bukan lagi untuk ejekan tetapi untuk orang menyamakan kejayaan saya di dalam bisnes internet ini.
Jadi, di sini saya ingin sampaikan kepada mereka yang mempunyai nama yang luar dari kebiasaan, atau mereka yang mempunyai pengalaman yang sama dengan saya supaya jangan mudah berasa kecil dengan ejekan dan permainan orang lain.
Jadikan nama anda sesuatu yang unik untuk anda bina jenama anda bagi membina bisnes anda sendiri – tak kira bisnes internet atau bisnes konvensional. Jadikan nama anda sebagai pendorong untuk anda cipta kejayaan di dalam hidup di dalam apa jua bidang pun.
Keunikan di dalam bisnes adalah sesuatu kelebihan untuk anda. Walaupun anda boleh cari keunikan lain di dalam model bisnes, bentuk produk, cara pemasaran, nama bisnes dan lain lain, namun jangan lupa bahawa nama anda juga boleh dijadikan satu keunikan (USP).
Akhir sekali, saya pasti anda tertarik dengan artikel yang saya sampaikan ini. Ianya mempunyai mesej tersembunyi dan tip bisnes yang anda boleh praktikkan.
Tetapi, tahulah anda bahawa ianya bukanlah sebuah artikel yang mudah untuk saya tulis terutama sekali ianya berkaitan hal peribadi dan masa lampau saya. Jadi, ambillah seberapa banyak pengajaran dan tip yang saya berikan di sini sebagai panduan untuk anda.
Sehingga sekarang, saya masih lagi berasa bangga mempunyai seorang “ayah” yang bernama “Nanyan Arshad” dan saya akan sentiasa berasa bangga dengan nama beliau.
Mengenai Penulis:
Zamri Nanyan mula berkecimpung di dalam Perniagaan Internet sejak tahun 2003. Internet juga memberikan Zamri kebebasan untuk meluahkan fikiran beliau, menambah ramai kenalan dari serata dunia dan menjana pendapatan pada masa yang sama. Beliau berasa puas sekiranya dapat membantu lebih ramai orang membongkar rahsia menjana pendapatan melalui Internet. Rujuk web beliau di bawah ini:
Rujukan: Di sini
No comments:
Post a Comment