Make Money With Paypal

Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

$$$ GET MONEY BY RIXTY $$$

Make Money When You Sleep

FREE CLICKS TO FULL YOUR PAYPAL ACCOUNT!!

DUIT PANTAS!! DOLLAR TO RM!!

Monday, November 22, 2010

TOMATO MADU & BUNGA SERAI

Mustakim masih termangu di bangku kelas ketika pelajar-pelajar lain telah menapak jauh meninggalkan perkarangan Sekolah Menengah Seri Cermai. Dia memikirkan sesuatu tetapi masih beku, belum tercair kepada realiti. Seketika dia mengejipkan mata. Menerawang ke dalam terowong masa.

"Saya mahu kamu semua kembali semula selepas cuti panjang ini dengan satu projek kajian untuk markah bonus Sains Pertanian," tegas Cikgu Arman kepada pelajar-pelajar Tingkatan Empat Manggis.

"Jangan ingat projek pertanian ketinggalan zaman di era penguasaan revolusi ICT ini," tekan Cikgu Arman lagi, ketika pelajar-pelajarnya masih melongo dengan tugasan baru itu. Mustakim mengangguk-angguk kepala seakan cuba menyelami maksud Cikgu Arman itu.

"Hei, takkan sampai menggigaukan tugasan baru itu. Relaks la!"

Jerkahan Salim membuatkan Mustakim tersentap dari intuisinya. Tetapi kemudian dia menumbuk lembut ke mejanya.

"Ya, aku sudah dapat satu idea baru! Kamu semua jangan ternganga nanti." Mustakim cuba mengumpan rakan-rakannya. Kali ini Salim, Muslim dan Aidil pula terlopong. Masing-masing berpandangan.

"Minta maaf lah, Akim. Kau bukannya ada idea baru pun," tukas Salim. Yang lain terangguk-angguk, persis mengiakan saja.

"Selama ini pun aku yang bagi idea pada kau," sampuk Muslim, bangga.

Mustakim bingkas bangun lalu mencapai beg sandangnya.

"Terima kasih, kamu semua memang hati berlian," ujar Mustakim sambil berlalu keluar. Rakan-rakannya ketawa terkekeh-kekeh melihat Mustakim semakin bersemangat dengan entah apa idea barunya itu. Namun yang pasti dihati kecil mereka rasa ingin tahu semakin bertunas dan mercup.

Petang itu Mustakim mula sibuk merancang tugasan barunya. Dia tahu kalau bertangguh tandanya tidak bersungguh. Itu bukan prinsipnya tetapi musuh. Sesuatu idea mesti dirancang dan dipraktik menjadi tindakan dan keputusan. Barulah lengkap suatu tugasan. Itulah prinsipnya.

"Kejayaan bukan nasib tetapi cita-cita yang dirancang dengan tertib."

Falsafah Cikgu Arman terpahat kukuh ke mindanya. Seperti itulah juga motivasi Cikgu Siti, guru kelasnya yang cukup pemurah dengan perangsang dan galakan. Cikgu Arman dan Cikgu Siti memang serasi untuk diteladani pelajar-pelajar Sekolah Seri Cermai.

"Untuk membentuk pelajar yang beretika tidak perlu guru yang garang macam singa. Jika inginkan mereka berjaya dan berjati diri, tunjukilah teladan itu seikhlas hati, bukan ikut emosi."

Itulah prinsip Cikgu Arman. Juga Cikgu Siti. Barangkali kebetulan mereka sama-sama satu mentor di UUM dahulu. Sekarang kalimat keramat itu cuba direalisasikan oleh pelajar-pelajar Sekolah Seri Cermai. Oleh pelajar-pelajar Tingkatan Empat Manggis. Oleh Mustakim Bin Abdullah.

"Akim…Ini kawan kau telefon!"

Suara Mak Hani tiba-tiba beralun lembut ke telinga Mustakim. Dia menghentikan seketika ketukan deras jejarinya di papan kekunci.

"Baik, mak!"

Mustakim bingkas dari kerusi komputer di bilik kecil itu. Di situlah kamar tidur dan makmal peribadinya. Di dinding bilik itu tergantung beberapa buah bingkai kecil. Ada beberapa keping foto kandid yang menyorot pencapaian terbaiknya di dalam beberapa bidang. Minatnya di dalam pengkajian botani belum pernah diterka sesiapa meski pun oleh guru dan ibunya. Hanya mungkin oleh ayahnya, kalau dia masih ada.

"Waalaikum salam. Apa hal, Aidil?" Soal Mustakim pantas bagaikan kegusaran kepada waktu yang berlalu memancungnya.

"Minta maaflah, hari ini aku ada hal penting!"

Cepat-cepat Mustakim memintas permintaan Aidil. Namun, sebagai kawan baik dia tetap prihatin. Dia akan membantu apa juga termampu.

"Esok pagi jam sembilan, insyaAllah. Tapi janganlah harap sangat."

Kali ini Mustakim pula tarik harga. Dia menduga rakan-rakannya itu semakin tidak sabar dengan ideanya yang masih samar dan melemaskan.

"Hai, Akim. Bila lagi kau nak siram pokok-pokok sayur kau itu. Nanti mati layu pula pokok-pokok itu."

"Baiklah, mak. Nanti saya tutup komputer sekejap."

Mustakim cepat-cepat bergegas semula ke biliknya. Pantas pula tetikusnya menangkap ikon safe dan shut down. Kalau terpadam data itu nanti alamat terpadam jugalah projeknya. Dia berbisik sendiri.

Petang itu Mustakim melangkah bangga ke perkarangan kebun kecilnya di tepi birai rumah teres di Taman Sena. Di situ segar mercup beberapa pohon herba, sayuran dan ulaman yang menjadi hidangan pembuka selera. Ada pohon cekur, halia, kemangi, kunyit, pegaga dan ulam raja. Tetapi Mustakim paling suka membelek pohon serainya yang hijau merimbun dan buah tomato yang merah ranum. Dia sedang berfikir sesuatu.

"Alangkah bagusnya kalau aku dapat memetik kuntum bunga serai ini sambil mengunyah buah tomato yang semanis madu."

Mustakim berintuisi lagi. Sambil itu tangannya terus pantas menghalakan kepala pancuran shower ke arah pohon-pohon kesayangannya itu. Persis gayanya memandikan sekumpulan budak kecil.

"Akim, tolong petikkan mak buah kacang botol sedikit. Sedap juga dibuat ulam malam nanti." Tiba-tiba suara Mak Hani melerai intuisi Mustakim.

"Serai dan tomato pun sedap dibuat ulam, mak," usik Mustakim melihat ibunya semakin mendekat. Satu demi satu buah kacang botol yang masih muda mersik dan merimbun di atas jalaran dicapainya.

"Bila agaknya kita dapat memetik bunga serai ini pula, mak?"

Spontan terpacul soalan pelik dari mulut Mustakim. Mak Hani terdiam seketika. Mustakim menjeling ibunya yang asyik membelai bunga kertas dan orkid pelbagai corak. Itulah minatnya sejak bersara setahun lalu.

"Dari zaman nenek moyang dulu pun tak pernah mak dengar cerita serai berbunga, Akim!" Mak Hani menggeleng kepala sambil tersenyum. Mustakim juga. Dia tahu soalan itu mungkin terlalu keanak-anakan.

"Bagaimana, kalau kita dapat merasa buah tomato yang semanis madu?" Mustakim terus mencuba pengalaman ibunya. Maklumlah, seorang bekas guru tentunya sudah masak dengan adunan maklumat dan pengalaman.

"Hai, Akim. Soalan-soalan kamu itu pelik benar bunyinya. Mak tak mahu nanti keluar pula soalan mengapa pisang tak berbuah dua kali!"

Mak Hani tersenyum lagi. Mustakim mengerut dahi sambil menatap wajah tua ibunya. Tetapi kemudiannya derai ketawa mereka berdua memecahi suasana redup di petang itu. Bahagia sungguh.

Selepas solat Subuh, Mustakim kembali mengadap skrin komputer. Tadi malam dia sudah melayari laman web http://www.totallytomato.com dan http://www.gourmetslenth.com/lemongrass.htm serta beberapa laman web lain yang berkaitan dengan tugasannya. Penyelidikan tentang Solanum lycopersicum dan Cymbopogon citratus perlu dibuat secara teliti. Beberapa artikel kajian botani juga telah dipindahturun untuk pembacaan seterusnya. Pencarian maklumat pula perlu pantas dan tepat. Dengan cara itu dia bukan sahaja dapat menjimatkan masa malah kos akses internet.

"Sebenarnya internet adalah kawan dan lawan kita sekaligus!"

Kata-kata Cikgu Arman itu persis bicara doktor falsafah. Namun, bagi Mustakim ia memang suatu kenyataan. Jika teknologi apa pun disalah gunakan, manusia mengundang musuh. Sebagai anak remaja dia amat bertuah justeru dapat memacu cabaran teknologi itu dengan sebaiknya.

"Lama tunggu?" Jerit Mustakim dari bahu jalan kecil.

Dia terus melangkah pantas menghampiri pinggir pantai. Dia pasti rakan-rakannya telah menunggu awal di situ. Dia pula datang bagaikan seorang pensyarah undangan khas ke majlis tidak rasmi itu.

"Maaflah, aku datang ikut masa sangat macam janji Mat Saleh!"

Mustakim cuba berseloroh melihatkan masing-masing membungkam saja di bawah pohon besar di pinggir pantai Seri Cermai itu. Angin dan ombak laut juga turut menyepi bagai mengiakan rasa hati mereka.

"Hai, semalam beria sangat mengundang aku ke majlis ini!"

Suara Mustakim kian deras melihatkan sikap Aidil, Salim dan Muslim masih membatu. Masing-masing tersentap. Pandangan mereka melotot ke arah Mustakim. Pantas pula bahu Aidil menyingguh bahu Salim.

"Semalam kami sudah buat keputusan, Akim."

Suara Salim tiba-tiba memecahi kebisuan itu, sebagai reaksi spontan dari isyarat bahu Aidil. Namun Mustakim belum faham hujung pangkalnya.

"Terpulanglah kepada kau samada bersetuju turut serta atau tidak, itu saja," tambah Aidil. Persis menghulur kail paksaan ke mulut Mustakim.

"Itu saja? Sia-sia aku ke sini!"

Mustakim cuba bertenang, berfikir, malah dia ingin mencungkil lagi.

"Bukan itu saja. Kami nak tahu juga apa pula idea baru cadangan kau?" Sampuk Muslim pula, sejak tadi cuma memasang telinga. Dia terlupa paku yang diberikannya kepada Mustakim semalam masih terlekat di minda.

"Aku manalah ada idea baru, Lim…" pintas Mustakim, memulangkan kembali paku berkarat itu. Muslim tersengih sambil menekup muka.

"Maaflah, aku cuma bergurau. Relaks la!" Ujar Mustakim menepuk bahu Muslim. Kali ini Salim pula tersengih. Aidil menggaru-garu kepalanya.

"Sudahlah, kita ni dah banyak menyimpang. Kami sebenarnya telah memutuskan hendak mengkaji projek udang harimau. Bagaimana, setuju tak?" Cepat-cepat Aidil mengubah topik bualan. Dia mula bersemangat dengan topik baru itu. Persetujuan Mustakim pasti tambah membarakan lagi semangat mereka nanti. Itulah motif utama perjumpaan tajaannya.

"Kau sudah selidiki habis tentang Penaus Monodon?" Uji Mustakim.

"Apa bendanya tu? Salim ternganga. Aidil buat-buat tak dengar.

"Hai, kau punya projek megalah!" Pintas Mustakim.

"Lain kali buka buku, Salim. Itu nama udanglah," Muslim mencelah.

"Tahu pun. Kita kenalah buat penyelidikan maklumat dahulu. Sekurang-kurangnya dari internet," ujar Mustakim persis gaya Cikgu Arman pula.

"Leceh, kalau tengok game baru biasalah," ujar Salim, menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Mustakim tersengih melihatkan gelagatnya itu.

"Ok lah. Cadangan aku, biar kita kaji pokok serai dan buah tomato saja…"

"Apa? Itukah projek mega kau, Akim?" Aidil kepelikan. Salim terkedu. Muslim menekup mulut, kelucuan. Mustakim mengangguk-angguk setuju.

"Carilah idea yang canggih sikit, Akim. Aku boleh bagi banyak pilihan." Pintas Muslim seakan memperlekehkan idea lucu daripada Mustakim.

"Baiklah. Kita masing-masing sudah pun buat keputusan. Aku tetap dengan idea lelucon aku itu!" Tegas Mustakim tanpa memberi ruang lagi kepada sidang bahasan. Perlekehan mereka itu bagai curahan api yang kian membarakan semangatnya. Cuba dulu baru tahu, gerutunya.

"Oklah, aku minta diri. Aku nak cari sesuatu di bandar."

Mustakim cepat-cepat berlalu dari situ. Rakan-rakannya juga bingkas bangun sambil mencapai basikal masing-masing. Persidangan tamat.

"Jangan lupa sekilo udang harimau untuk aku nanti!" Jerit Mustakim.

"Yalah, untuk digoreng dengan serai dan tomato kau!" Sampuk Salim sambil ketawa terkekeh-kekeh. Mustakim tersengih saja dari basikalnya.

Segala peralatan sudah tersedia. Picagari, cecair penggalak, sebatian baja, plastik pengawal cahaya dan lain-lain sudah terkumpul di dalam bilik kecil itu. Mustakim mengira satu-satu agar semuanya lengkap sebagaimana saranan di dalam laman web itu. Proses itu kelak akan mengambil masa kira-kira empat minggu untuk melihat hasilnya. Dia ingin memastikan tempoh tersebut mencukupi untuk menamatkan kajiannya. Seterusnya kesimpulan kajian boleh dibuat dan dibentangkan di sekolah kelak. Di depan Cikgu Arman. Di depan rakan-rakan sekelasnya.

Mustakim kembali mengangkat dan menggoncang tabung kelapa. Nyata sudah kering kontang. Mujurlah projek itu tidak memakan belanja besar. Dia bersyukur dalam hati. Dia tidak mahu menyusahkan ibunya pula.

Sepetang itu Mustakim tekun berada di kebun kecilnya. Kurang betul dia bercakap dengan ibunya seperti selalu. Mak Hani mula kebimbangan.

"Akim, mak nampak kau tekun betul membelek pokok serai dan tomato itu sejak seminggu dua ini." Mak Hani cuba mengintai dari jeriji tingkap. Mustakim bagaikan tidak terdengar sapaan ibunya. Dia terus menggemburkan tanah baja adunan biologi di perdu serai. Kemudian dia mencatat sesuatu di dalam buku kecilnya. Semua kaedah kajian yang tersaran dipatuhi. Pemerhatian dan ketelitian jagaan ketika itu amat perlu.

"Kesian pokok-pokok lain, Akim. Nanti merajuk pula dia!"

Suara Mak Hani kali ini berjaya mencuit keasyikan Mustakim sejak dua minggu lalu. Dan kini dia pula cuba menilai ketelitian kerja anaknya itu.

"Oh, mak. Maaflah, Akim tak perasan tadi. Mak nak kacang botol lagi?"

"Tengok tu, lain pula yang dia dengar." Mak Hani tersengih.

"Jemu juga makan kacang botol, Akim. Sesekali hendak juga berulamkan bunga serai dan tomato kau itu," usik Mak Hani. Mustakim tersengih.

"Bukankah mak juga yang kata, kita kena bersabar dalam sesuatu usaha. Tapi tak mengapa, cuba emak rasa dulu buah tomato ini," pantas Mustakim menghulurkan sebiji buah tomato merah segar kepada ibunya.

Seboleh mungkin dia cuba menutup rahsia kajiannya itu daripada pengetahuan ibunya. Tetapi Mak Hani bukan sembarangan ibu. Sebagai bekas guru, dia dapat menelah sesuatu. Dia tahu Mustakim mempunyai ketekunan yang mendalam di dalam pengkajian botani. Sama seperti arwah suaminya dulu. Dalam hal itu dia tidak menghalang namun tidak juga amat menggalakkan. Dia mahu melihat anak tunggalnya itu mencuba dahulu hingga ke batas kemampuan. Di situ dia akan memberi nasihat.

"Eh, lain macam saja rasa buah tomato kau ini, Akim?"

Mak Hani tercengang keanihan. Belum pernah dia merasa buah tomato sedemikian rupa. Pisang kaki dan tembikai susu pun tidak enak sebegitu.

"Kau bubuh gula cap apa di dalam buah tomato ini, Akim?"

Mak Hani terkeliru. Namun Mustakim tersenyum lega. Sekarang kepastiannya sudah dibuktikan oleh ibunya sendiri. Semalam dia juga didera kesangsian yang sama sewaktu merasa sebiji buah tomato kajiannya itu di dalam bilik kecil. Dia cuba menguji rasa spesis Solanum lycopersicum itu dengan Diospyros kaki dan Citrullus vulgaris. Rasanya tetap berbeza. Semua ujian itu tercatat di dalam buku kecilnya.

Namun terdetik juga kebimbangan Mustakim. Mungkinkah penemuan baru kajiannya itu memberi kesan negatif kepada sesiapa? Apatah lagi apabila sampel kajian dicuba oleh ibunya sendiri. Satu-satunya orang yang paling disayangi di fana ini. Tetapi dia sendiri sudah membuktikan tidak mengalami sebarang komplikasi pemakanan sejak semalam. Apa pun, dia tidak mahu menanggung risiko berat. Justeru itu dia bertekad untuk membawa contoh buah tersebut kepada pakar botani sebelum membuat pendedahan di sekolah kelak. Yang nyata, penemuan kajiannya itu lebih awal dari yang dijangkakan. Itu sudah cukup melebarkan senyumannya.

Udara pagi itu sungguh segar dan nyaman, membuatkan Mustakim terbuai mimpi kembali selepas solat Subuh. Menerusi jeriji tingkap dapur, Mak Hani menggosok kelopak matanya berkali-kali. Sekali lagi dia keliru dengan apa yang dilihatnya di penjuru kebun kecil itu. Meliuk-lintuk kuntum bunga serai yang kuning keemasan, lebat memenuhi beberapa rumpun di penjuru pagar. Bau yang semerbak harum pula menerjah masuk menerusi jeriji tingkap. Mak Hani terpaku seketika. Dia cuba mengamati fenomena itu. Apakah cuma ilusi semu atau memang realiti yang harus diperaku. Akhirnya dia akur kepada realiti yang terbukti di depannya.

"Akiiim!" Spontan terpacul nama itu dari mulut Mak Hani.

"Saya, mak!" Mustakim terpinga-pinga, menggosok matanya lalu bingkas bangun menerpa ke arah suara itu. Panggilan keras seperti itu belum pernah didengarinya masa lalu. Sejak semalam memang dia bimbangkan situasi ibunya. Dia tidak patut menjadikan ibunya sebahagian bahan ujikajinya itu. Debaran kekesalan seakan berada di puncak jantungnya. "Ada apa, mak. Sakit mak datang lagi?"

Mustakim kian gelisah. Dia terus memaut bahu ibunya dari belakang.

"Maafkan Akim, mak! Akim tidak sepatutnya suruh mak merasa buah tomato itu semalam," suara Mustakim tersekat-sekat di rengkungan.

Kekesalan Mustakim tidak terbendung lagi. Empangan airmatanya spontan terpecah. Namun cepat-cepat dia menyekat kebanjiran itu.

Tiba-tiba bebola matanya tersorot sesuatu di luar tingkap. Pandangan nya tertumpu ke arah rumpun-rumpun serainya yang kini sedang lebat berbunga kuning keemasan. Pemandangan itulah juga yang membuatkan Mak Hani masih terpaku didera keasyikan. Mustakim sedikit lega.

"Oh, kuntum bunga serai itukah yang mak maksudkan?"

Soal Mustakim selamba sahaja bagaikan tiada apa-apa yang anih di situ. Namun, Mak Hani terus memeluknya. Kemas dan erat.

"Kau mencipta sejarah, Akim. Sekurang-kurangnya untuk mak!"

Mak Hani terus menepuk lembut belakang Mustakim, penuh bangga.

"Tahniah!" Ujarnya, penuh ceria.Tanpa ragu-ragu lagi Mak Hani meraikan kejayaan kajian anak tunggalnya itu. Jauh di sudut hatinya mengakui, jejak-jejak kejayaan arwah suaminya dulu sedang ditelusuri kini oleh Mustakim. Cepat Mak Hani menyeka air hangat yang menggenangi kelopak matanya.

"Riing! Riing!"

Tiba-tiba deringan telefon bertalu-talu memecahi keheningan pagi itu.

Mustakim melangkah lesu ke ruang tamu. Ikutkan hati dia tidak mahu menerima undangan telefon disaat itu. Mak Hani kembali menyorot pandangan ke luar tingkap. Serasa belum puas dia mengamati pemandangan yang dahulu hanya mampu dicapai dalam mimpi. Koleksi baru bunga-bungaannya kini kian unik. Dia tersenyum sendiri teringatkan pertanyaan Mustakim. Benarkah nanti pisang juga akan berbuah dua kali?

"Oh, Aidil. Mimpi apa telefon pagi-pagi ini?"

"Maaflah, Akim. Kami sebenarnya nak datang ke rumah kau hari ini. Kami nak bincangkan semula projek tempohari."

Bicara Aidil kedengaran sayup-sayup persis merayu simpati. Mustakim menggeleng kepala. Apa lagi yang tidak kena, fikirnya.

"Takkan fasal carian maklumat itu pun tak ada yang tahu?"

Mustakim cuba menguji. Dia maklum Aidil memang cekap fasal cit-cat.

"Bukan soal itu, Akim. Kami bertiga sebenarnya tidak mampu meneruskan kajian projek udang harimau itu tanpa kau!"

Aidil tidak mahu berselindung lagi. Namun Mustakim belum puas. Kenapa harus dia dilibatkan. Dia sendiri tidak bersedia dengan cadangan projek itu yang telah pun berlalu lebih dua minggu. Mereka patut faham.

"Lantas, kau mahu aku menyertai juga projek itu? Maaflah, Aidil. Aku boleh tolong, tetapi kau tahu aku pun ada tugasan." Tegas Mustakim, di antara geram dan kasihan. Sesungguhnya dia jarang menghampakan harapan rakan-rakannya itu. Namun ibarat kata cendekiawan, jangan biasakan beri seseorang ikan, sebaliknya ajarlah ia memancing.

"Kami sebenarnya sudah membatalkan projek udang harimau itu, Akim. Sekarang kami bertiga sepakat untuk menerima idea kau tempohari!"

Mustakim tersentap. Bicara Aidil semakin sayup dan tersekat-sekat. Entahkan talian rosak, entahkan pendengarannya jadi kurang enak. Spontan dia meletakkan gagang telefon. Yang pasti mereka akan tiba jua untuk mendesaknya membuat satu lagi keputusan berat: Setuju atau tidak!

No comments: