Make Money With Paypal

Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

$$$ GET MONEY BY RIXTY $$$

Make Money When You Sleep

FREE CLICKS TO FULL YOUR PAYPAL ACCOUNT!!

DUIT PANTAS!! DOLLAR TO RM!!

Saturday, September 25, 2010

DARI KAJANG KE SEREMBAN

Sudah hampir enam tahun aku tidak mengunjungi bandar Kajang. Kali ini aku teringat untuk menikmati keenakan Sate Kajang Haji Samuri. Bersama Wan rakanku yang memang sudah biasa kerana telah menjadi warga Kajang sejak sekian lama, kami singgah di gedung sate jutawan Haji Samuri di Bangunan Dato' Nazir, Jalan Kelab, Kajang. Memang lokasi strategik medan sate di Kajang ini cukup sinonim dengan nama Sate Haji Samuri. Hingga nama gerai sate yang lain jika tidak dikaitkan sebagai sanak saudara Haji Samuri akan ketinggalan keretapi.

Hingga kini hampir 20 outlet Sate Haji Samuri telah dibuka merata tempat, dari utara hingga selatan untuk dinikmati penggemar sate. Namun masih ramai yang memberi komen, rasa sate di lubuk sate sebenar di Kajang tetap berbeza, membuatkan kecur airliurku sambil mempercepatkan langkah meredah hujan renyai-renyai malam itu. Aku melihat pengunjung gedung sate tiba bertali arus keluar dan masuk ke gedung sate, seolah-olah kenduri besar sedang dijalankan di situ.

Lantaran kepingin nak merasa juga keenakan sate ayam dan daging bersama sos kacang tanah yang agak manis, sambal cili pedas, sepiring nasi ketupat, sedikit timun dan kopi o panas, kami memilih tempat yang agak selesa di tingkat atas. Terus terang kukatakan yang aku bukanlah penggemar sate kerana tak mampu makan berpuluh cucuk. Enam tahun dulu aku teringat rakan-rakan mengajak aku ke Kajang semata-mata hendak bertarung siapa paling banyak melahap sate. Kami pun setuju berkongsi membeli 1000 cucuk sate ayam dan daging serta memulakan pertarungan kalah berhenti. Memang kami semua datang dengan perut yang berkeroncong lapar tetapi sesudah menghabiskan tujuh cucuk sate ayam aku berhenti dan menyerah kalah. Pelahap sate terhandal malam itu adalah seorang rakanku dari Ipoh yang telah berjaya menghabiskan 55 cucuk sate. Aku agak 55 cucuk sate itu menyamai tiga ekor ayam pencen.

Aku mulai merasa tidak sedap badan sewaktu mula-mula memasuki gedung sate. Mungkin kerana telah beberapa kali terkena hujan renyai-renyai seawal petang tadi membuatkan kepala sedikit pusing. Putaran kipas yang agak perlahan di dalam gedung itu pun sudah cukup membuatkan tanganku menggeletar kesejukan. Sesudah aku memesan 20 cucuk sate aku bertanyakan di kaunter bayaran samada menjual atau menyimpan aspirin. Malangnya aspirin tidak ada dijual di situ. Sudahnya hajatku untuk menikmati Sate Kajang Haji Samuri malam itu menjadi sedikit tumpul kerana selera dan badan sudah terganggu. Aku bertekad untuk menghabiskan 10 cucuk tetapi masih gagal memecahkan rekod 6 tahun lalu iaitu 7 cucuk. Yang pasti sate ini makanan santai-santai, sesekali menukar menu nasi dan gulai kari.

Jam sudah menunjukkan hampir 9.00 malam. Aku perlu bertolak balik segera ke Seremban kerana sakit kepala dan panas badan semakin tidak menyelesakan. Pilihan terbaik yang ada di Kajang ialah menaiki komuter KTM. Bersusah payah Wan menghantar aku ke stesen komuter Kajang yang agak jauh juga dari gedung sate. Bangunan Stesen Komuter Kajang dahulunya tapak Stesen KTM Kajang sejak zaman British berdekatan dengan sekolah menengah di Jalan Bukit. Sudah agak lama juga aku tidak menaiki tren komuter. Kini perkhidmatan bas ekspres KL ke Seremban lebih selesa walaupun tambangnya lebih tinggi iaitu RM6.00 sehala.

Bagaimana pun perkhidmatan tren komuter bagi sebilangan besar warga kerja ibu kota tetap penting malah membantu mengurangkan kesesakan waktu puncak. Sesudah menunggu agak lama aku teringat semula untuk mencari aspirin yang masih belum aku perolehi sejak keluar dari gedung sate. Memerhatikan tiada apa-apa kedai serbaguna di situ aku terus bertanya kepada porter stesen samada peti ubat di situ ada menyimpan aspirin. Dengan ramah sekali dia mencari-cari sesuatu dalam peti ubat. Malangnya tiada satu pun aspirin tersimpan di dalam peti ubat itu. Walau pun hampa namun keramahan beliau hendak membantu membuatkan sebahagian sakitku terubat. Hakikat yang perlu kita akur bahawa ubat bukan hanya sesuatu yang mesti kita telan. Ada juga ubat yang mesti kita luahkan.

Hampir jam 9.25 malam tren komuter sampai dengan muatan yang sarat dengan penumpang. Aku mulai terfikir adakah aku akan terpaksa berdiri di buaian dalam tren hingga ke Seremban. Fikiranku mulai meracau jauh. Rupa-rupanya muatan tren yang sarat itu hampir separuh diluahkan di Kajang. Fikiran kacauku mulai terubat. Rasa lega juga aku mendapat tempat duduk paling belakang walaupun mengadap ke belakang. Maknanya sekarang aku berjalan undur dan pasti tambah memeningkan kepala. Aku semakin tidak selesa dengan hawa dingin yang kuat, dengan alas kerusi agak keras serta tidak boleh lentur sebagaimana kerusi bas. Membuatkan aku mula menilai pengalaman menaiki tren bagi perjalanan jauh memang tidak selesa malah cukup merimaskan. Lain orang lain pengalaman.

KTM perlu memikirkan sesuatu untuk memberi keselesaan kepada penumpang bagi perjalanan jauh melebihi satu jam. Tiada maknanya tambang lebih murah 50 sen tetapi keselesaan jatuh 50 persen. Lantaran kepenatan, akhirnya aku tertidur juga dikerusi keras itu berselimutkan kain pelikat. Sebelum terlelap aku sempat melihat kelibat beberapa orang penumpang tersenyum simpul melihat gelagatku menaiki tren komuter sambil berselimut kain pelikat. Lagak ku mungkin mengalahkan Tok'ki balik ke Tumpat. Aku tiba-tiba terjaga apabila pemuda di sebelah tempat dudukku mengejutkan - Encik, sudah sampai Seremban.

1 comment:

Anonymous said...

Good entry