DUA tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS)
dalam tempoh yang singkat (lebih kurang empat bulan) telah mengemparkan
dunia. Tragedi pertama berlaku pada bulan Mac lalu yang menimpa pesawat
MH370 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing yang hilang dari
laluannya. Sehingga ke hari ini pesawat MH370 masih belum ditemui namun
dipercayai terhempas di lautan Hindi. Manakala tragedi kedua berlaku
dalam bulan Julai lalu, dimana pesawat MH17 penerbangan dari
Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas akibat ditembak dengan peluru
berpandu dari darat ke udara di ruang angkasa Ukraine. Dua tragedi yang
menyayat hati itu telah memakan korban seramai 525 orang tak bersalah
termasuklah 27 orang anak kapal yang bekerja untuk syarikat penerbangan
Malaysia itu.
Berikut ini adalah sebuah tulisan dari seorang yang bernama Dr.Azman Ibrahim, tentang luahan rasa, pengalaman dan kenangan beliau bersama penerbangan MAS dan tragedi yang berlaku keatas pesawat MAS MH17 serta harapannya, yang menarik untuk kita baca.
Berikut ini adalah sebuah tulisan dari seorang yang bernama Dr.Azman Ibrahim, tentang luahan rasa, pengalaman dan kenangan beliau bersama penerbangan MAS dan tragedi yang berlaku keatas pesawat MAS MH17 serta harapannya, yang menarik untuk kita baca.
SAYA mengambil sedikit masa untuk menulis tentang MH17 dalam keadaan
sangat memahami perasaan keluarga yang sedang menunggu ketibaan
orang-orang yang tersayang tetapi akhirnya yang ditunggu tak kunjung
tiba. Perasaan kehampaan dan kesedihan ini teramat saya fahami.
Teringat, ketika saya memaklumkan waktu kepulangan ke tanahair kepada
keluarga pada September 1999, hampir seminggu ayahanda dan bonda hampir
tak tidur malam menunggu detik mendaratnya pesawat dari Amman, Jordan di
KLIA membawa pulang seorang anak yang telah 6 tahun di perantauan.
Alhamdulillah, akhirnya yang ditunggu tiba juga.
Pemergian penumpang dan krew MH17 dalam keadaan yang begitu tragis
dengan jasad yang berkecai adalah terlalu memilukan. Sebuah kapal
terbang yang terbang pada ketinggian 33,000 kaki di udara bermakna
jaraknya dari permukaan bumi sekitar 7 batu.
Saya terasa sebak memikirkan bagaimana keadaan di dalam MH17 ketika
pesawat tersebut jatuh dengan lajunya dari ketinggian itu lalu terhempas
dengan dahsyat ke bumi.
Hakikat ketentuan Allah yang membuatkan air mata saya menitis, semua
kita akan mati dan tiada siapa yang tahu di bumi mana kehidupan ini akan
berakhir dan bagaimana kesudahan hidup kita.
Saya sangat bersimpati dengan pengurusan MAS di sebalik pelbagai
kecaman terhadap mereka. Dua tragedi menimpa dalam masa yang singkat
terlalu berat untuk dipikul.
Semalam ketika mendarat di KLIA dari Kota Kinabalu, sambil memerhatikan
deretan pesawat MAS yang sedang diparkir, air mata saya menitis lagi.
Kehidupan tetap diteruskan dengan pesawat terus berlepas dan mendarat.
Bukan mudah untuk kakitangan yang kehilangan begitu ramai rakan dalam
tempoh singkat untuk bangkit mengumpulkan kembali sisa semangat bagi
terus bekerja.
Kita tahu mereka telah melakukan yang terbaik. Di sini terlalu ramai
orang yang tak bersalah dan bergantung rezeki pada setiap kali kapal
terbang berlambang wau bulan tersebut pergi dan kembali. Jasanya terlalu
besar walau ada ketika reputasinya dicemari oleh tangan-tangan rakus
yang tamak.
Syarikat penerbangan ini adalah milik rakyat walaupun sebahagian besar
rakyat hanya mampu mendongak melihat pesawat berjalur merah biru
tersebut terbang di atas kepala mereka.
Apabila membaca berita, ketua pramugara MH17 yang terkorban adalah
individu yang begitu komited menentang sajian arak dalam pesawat, hati
kecil saya berkata, inilah dia turning point. Hargai pengorbanan krew tersebut yang telah pergi dan tolong tunaikan hasratnya.
Walaupun bagaimana keadaan jasad Almarhum ditemui, hasil perjuangannya akan tetap kekal mengharum. Sekarang bukan masanya untuk saling menunding jari dan mempolitikkan
isu. Bagi saya ini adalah tragedi pembunuhan beramai yang mesti diadili.
Kita tidak berhajat untuk melihat munculnya wira di sebalik musibah,
tetapi Allah masih mengizinkan matahari terbit di bumi ini lantaran
kerana masih ada di permukaannya mereka yang menegakkan keadilan.
Malaysia perlu bertegas. Semua hak kita yang diperuntukkan oleh
undang-undang antarabangsa mesti diperjuangkan. Soal konflik serantau
antara Rusia, Ukraine dan pemisah adalah masalah mereka.
Tetapi tindakan mensasarkan sebuah pesawat awam yang tidak membawa
sebarang ancaman keselamatan adalah tidak bertamadun.
Kita akan tengok bagaimana reaksi berbeza masyarakat dunia akan timbul
andainya sebuah pesawat milik barat ditembak jatuh di sebuah wilayah
ummat Islam atau suspek pelakunya adalah seorang Islam.
Bukankah kerana insiden letupan Pesawat Pan AM Penerbangan 103 di Lockerbie menyebabkan Libya dikenakan sekatan ekonomi? Tragedi Lockerbie mengorbankan 271 orang sementara MH17 mengorbankan 298
orang. Keduanya adalah tragis dan memilukan. Jangan ada double standard dalam menegakkan keadilan!
No comments:
Post a Comment