PENGARAH Imigresen Negeri
Sembilan, Faizal Fazri Othman berasa marah dan kecewa bila terkenang Muhammad
Firdaus Dullah, 15. Bersama wartawan Sinar Harian, SYAMILAH ZULKIFLI, Faizal kembali mengimbas
kenangan sewaktu pertama kali bertemu insan istimewa itu. SABTU lalu, ketika dia dijumpai tubuhnya hanya tinggal tulang. Perutnya
langsung tidak berisi. Malah paling menyedihkan dia ditinggalkan di sebuah bilik kosong yang kotor dan
berbau busuk. Sehingga kini, saya masih gagal membendung rasa marah. Kecewa dan segala macam
perasaan timbul setiap kali terkenang adik Muhammad Firdaus Dullah. Saya tidak
sanggup memikirkan seorang anak kurang upaya dibiarkan dalam keadaan sebegitu
rupa.
![]() |
Penuh rasa belas kasihan...Faizal ketika bertemu Firdaus. |
Semuanya bermula selepas menerima maklumat daripada jawatankuasa rumah pangsa
Taman Semarak Nilai berhubung lambakan warga asing yang tinggal di situ. Jadi saya melakukan operasi dan rumah Firdaus merupakan antara rumah yang
menjadi sasaran. Ketika menghampiri rumah terbabit kami mendapati hanya pintu besi yang
berkunci. Dari luar saya tolak pintu rumah. Ketika itu hati saya dapat rasa ada orang
yang sedang bersembunyi di dalam kerana lampu tidak ditutup. Saya cuba memanggil beberapa kali namun tidak disahut sesiapa. Jadi saya
arahkan pintu besi rumah terbabit dipecahkan. Pemeriksaan dilakukan di setiap sudut rumah. Salah sebuah pintu bilik di rumah
itu tertutup seolah-olah ada seseorang bersembunyi di dalam. Ketika itu jam
sekitar 2.30 pagi. Namun ketika pintu bilik itu ditolak saya terus beristighfar panjang. Saya terlihat satu susuk kecil. Saya seperti melihat rangka bernyawa. Dia sedang baring beralaskan lantai. Sedangkan lantai itu bergelumang dengan
najis dan sisa makanan. Ada sebuah kerusi roda dan sebiji bantal ditinggalkan. Firdaus yang pada
awalnya baring, bangun dan merenung saya. Saya lihat ada najis keras melekat
di rambutnya. Air mata saya mula bergenang. Hampir menitis. Tiada perasaan jijik. Bau busuk dan hamis pula seperti hilang tiba-tiba. Malah
seolah bau wangi syurga mula meresap hidung. Apa yang timbul hanya rasa belas. Saya hampiri tubuh kurus itu. Saya usap
kepalanya. Hati saya terlalu sebak.
![]() |
Adik Firdaus kini semakin pulih di bawah jagaan rapi HTJ Seremban |
Melihat keadaannya yang kurus kering, saya percaya dia sudah lama tidak menyentuh makanan. Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana perasaan menjadi orang pertama melihat Firdaus? Jawapan saya, hanya mereka yang tidak mempunyai hati sahaja tidak sedih melihat Firdaus. Sebab itu saya terus mengusap kepala dia kerana saya betul-betul tidak sangka dia yang tidak berupaya dibiarkan hidup dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Tapi sampai sekarang pun saya masih berfikir kenapa saya digerakkan ke situ? Syukur ALLAH gerakkan hati ini ke sana. Seandainya tidak, mungkin sehingga hari ini tiada sesiapa pun tahu derita hidup remaja OKU bernama Firdaus. Mungkin Firdaus akan terus menderita seorang diri. Syukur kepada ALLAH semakin bertambah. Saya gembira lihat perubahan Firdaus. Keadaannya jauh lebih baik berbanding ketika mula dijumpai. Saya bersyukur dia kini dapat segala yang diperlukan. Cukuplah derita yang dia tanggung selama ini. Ketika ini bukan masa untuk tuding jari tetapi penemuan itu perlu dijadikan pengajaran pelbagai pihak agar lebih menghargai anak-anak sendiri termasuk juga mereka yang bergelar orang kurang upaya (OKU).
sumber
Nota kaki:
Hati siapa yang tidak sebak, hati siapa yang tidak pilu berbaur geram melihatkan kisah pengabaian remaja OKU ini sehingga ketika ditemui sosok badan beliau tinggal kulit dan rangka. Seharusnya kini kita semua membuka minda dan mata hati kembali menghayati saranan Nabi SAW - betapa pentingnya mengambil berat dan perduli hidup jiran tetangga jika tidak derita tetangga kita jua turut menanggung dosa. Hentikanlah hidup yang dibuai kebendaan sementara dan individualistik keterlaluan sehingga ada yang terlupa sebahagian rezeki masing2 ada hak buat anak-anak yang di anugerah Allah SWT untuk dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Fikir2kanlah...
No comments:
Post a Comment