Make Money With Paypal

Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

$$$ GET MONEY BY RIXTY $$$

Make Money When You Sleep

FREE CLICKS TO FULL YOUR PAYPAL ACCOUNT!!

DUIT PANTAS!! DOLLAR TO RM!!

Saturday, June 2, 2012

PANGGILAN UPSI


Surat tawaran mendaftar pelajar baru UPSI yang telah aku muat turun dari laman sesawang sejak petang semalam kembali kucapai di dalam laci. Ingin kupastikan betul-betul agar aku tidak tersilap pengamatan. Manalah tahu, entahkan tarikh 24 September itu sebenarnya 14 September. Akhirnya penantian tuaku ini mungkin akan musnah begitu saja. Pencapaian kendiri di bidang keilmuan amat dicemburui ramai orang.
Entah kali keberapa kuamati surat tawaran itu hingga tiada apa kurasakan tersilap. Hadir di Dewan Canselori, UPSI, 24 September, jam 8.30 pagi. Hafal sudah.
“Doa perjalanan sudah hafal?”
Teguran manja suamiku terus melenyapkan seketika intuisiku yang mengujakan. Aku menjeling, menggeleng kepala sambil tersenyum. Wah, rupanya masih ada lagi yang aku belum hafal. Itu belum termasuk kerahan diri untuk menghafal modul? Dahiku mula berkerut persis mengiyakan usikan rakan-rakanku. Menjadi pelajar di peringkat usia sebegini memang cukup mencabar. Itu kata mereka. Barangkali lebih sukar dari mengajar murid pra-sekolah di SK Panchor. Dahiku semakin berkerut. Bukankah aku pernah menjadi pelajar di Maktab Perguruan Tuanku Ampuan Afzan pada tahun 1996 hingga 1998 dahulu? Tidakkah itu pengalaman?  Tapi itu dulu, fikiranku mula menepis sejarah itu.
 “Bila lagi nak gerak. Sarapan pun belum?”
Sekali lagi pertanyaan suamiku membuatkan aku sedikit geram dan mula kelam kabut. Aku kira semuanya telah kusediakan sejak malam tadi. Bihun goreng, kuih-muih, roti, majerin dan biskut sudah kusediakan sejak awal pagi. Tetapi memang  sikap suamiku tidak suka sarapan sendirian. Selagi aku tidak minum bersama, selagi itulah dia terus menunggu di meja dapur. Itulah yang membuatkan aku geram dalam sayang. Aku mula terfikir bagaimana nanti tugasku setelah bergelar pelajar sekaligus isteri, guru dan ibu kepada tiga orang putera dan puteriku yang masih tekun bersekolah. Fikiranku tiba-tiba tercabar. Mampukah?
“Jom!”
Tiba-tiba saja aku memberikan jawapan spontan. Jawapan standard yang memang lama benar ditunggu oleh suamiku. Tetapi aku mesti melepaskan diri dari belitan ilusi ini. Jika tersilap ia akan membelit diriku sendiri. Oh, tidak sekali-kali. Aku tidak ingin ilusi deja-vu membelit diriku.
***
“Mak! Mana tuala? Baju dah siap?”
Aku terus tercegat di sisi pintu bilik mandi. Balutan kain basahan terlihat separuh basah. Aku pura-pura terketar-ketar kesejukan walaupun hanya dengan tiga kali jirusan air kolah. Saat mandi pagi adalah cabaran paling getir buatku semasa di alam persekolahan. Soal sekolah aku tiada pilihan.  Sekolah Kebangsaan Kampung Bukit Nikmat adalah satu-satunya pilihan buatku. Tetapi aku kerap diminta memilih antara mandi dan jirus. Yang mana satu?
“Mak, jirus saja tau!”
Pilihanku sebenarnya tidak memberi apa-apa makna. Itu semua kufahami kini sebagai teori keperluan semata-mata. Jika emak yang memandikan memang sukar untuk kubezakan antara jirus dan mandi. Sudah lebih sepuluh jirusan air kolah yang dingin singgah menghujani kepala namun aku belum siap disabunkan. Emak cerewet sungguh. Jika emak sibuk di dapur, maka itulah saat terbaik aku membuat peraturan sendiri. Sabun muka, tiga kali jirusan dan lap. Mandi siap.
“Gosok gigi!”
Belum sempat aku hendak meloncat keluar dari bilik mandi yang gelap lagi dingin itu jeritan emak sudah singgah ke cuping telinga. Aku sebenarnya tidak mampu berbohong soal mandi. Emak akan periksa. Mudah benar emak meneka aku hanya sabunkan kepala dan tidak menggosok gigi. Aku merasakan seluruh gerak-geri dunia kecilku sentiasa di dalam perhatian emak. Tetapi tidak pula aku merasa rimas dikongkong sebegitu. Malah aku sentiasa ingin diberikan perhatian. Yang merimaskan aku adalah usikan rakan-rakan. Aku dikatakan anak manja. Aku manja terlebih. Ejekan mereka membuatkan aku mudah menangis. Manjakah aku? Memang aku anak bongsu dari tiga orang adik-beradik. Tetapi adakah benar anak bongsu selalu dimanjakan? Aku memang suka dimanjakan tetapi aku enggan menerima ejekan? Adilkah mereka? Benar, hanya emak yang faham tentang hatiku.
“Esok ayah ke Jerantut jual getah keping, nak ikut?”
Tiba-tiba ayahku bersuara setelah sejak tadi melihat wajahku mencuka. Aku geram sungguh sebab ayah lambat menjemputku pulang sekolah. Alasan basikal tuanya putus rantai bukan mudah hendak kuterima. Apatah lagi kelewatan itu memberi ruang kepada rakan-rakan sekolahku yang nakal membuat onar. Menjentik kesabaranku dengan ejekan;
“ Horey, anak manja tak lepas balik!”
Sambil diselang-seli dengan jeritan, horey, esok cuti. Sebenarnya ayah memang tahu kesukaanku. Berlibur ke pekan pada cuti hujung minggu ada ubat paling ampuh buat menyembuhkan kelukaan hatiku. Tetapi aku belum bersedia menerima tawaran itu. Kali ini aku benar-benar jual mahal.
“Ayah mahu kamu jadi cikgu macam ayah, boleh?”
Aku tahu ayah adalah seorang bekas guru yang dedikasi dengan tugas. Barangkali disiplin tugas itulah membuatkan ayah terus dikenali oleh orang-orang kampong dengan nama Cikgu Mat Nawi walaupun ayah telah lama pencen guru. Kini ayah menjadi penoreh getah sepenuh masa. Dimataku ayah memang guru yang hebat.
“Layakkah aku meneruskan legasi ayah?”
Ejekan rakan sekolah pun aku tidak tahan mana mungkin aku mampu memikul tugas guru. Bagaimana nanti jika murid menangis aku pun ikut menangis sama. Namun jauh disudut hatiku ingin kukotakan harapan itu. Harapan seorang ayah. Walaupun pendakian itu ternyata masih jauh namun ayah telah membukakan jalan buatku. Seperti sebuah rumah, harapan itu adalah pintunya.
“Jom!”
Tiba-tiba saja terloncat jawapan spontan dari mulutku. Ayah terpaksa memperlahankan kayuhan dan membrek basikal tuanya. Seakan-akan tidak percaya dengan jawapan itu ayah sekali lagi bertanya. Aku terpaksa berfikir semula dengan apa yang aku lontarkan secara spontan itu.
“Jom jadi cikgu?”
“Jom ke pekan!”
Aku tersengih membetulkan pengakuan. Aku melihat wajah ayah seakan kesal dan terkilan. Tetapi ayah pandai sembunyikan. Hingga membuatkan aku tidak sedikitpun merasa bersalah. Ayah tetap tersenyum. Mungkin tawarannya untuk membawa aku ke pekan telah berjaya memaniskan cuka diwajahku. Aku dapati ayah memang selalu sabar dengan karenahku. Ayah tetap mengusung basikal tuanya itu ke dalam bangsal rumah tanpa meminta aku turun basikal. Aku cuba mengenal diri. Ayah, akukah anak yang nakal?
***
“Mak, kenapa makan bihun dengan tangan?”
Wah, intuisiku semakin menjadi-jadi rupanya. Dahi suamiku mula berkerut dua belas. Ketiga-tiga anakku mula bergelak sakan. Spontan suamiku menghulurkan sudu dan garpu. Sambil itu sempat juga dia berbisik;
“Nak jadi pelajar UPSI ke pelajar TASKI?”
Sekali lagi keheningan pagi itu pecah dengan derai tawa kami sekeluarga. Mesra sungguh. Segalanya sudah siap. Along, anak lelakiku yang sulung sudah setkan GPS, destinasi Tanjung Malim. Angah, anak keduaku sudah muatkan barangan penting ke dalam kereta. Hanis, anakku yang bongsu sudah siap menunggu dalam kereta. Soal libur adalah kesukaannya. Yang penting selesai urusan pendaftaran UPSI nanti pastikan ada ruang untuk dia melancong dan berlibur. Beres.
“Jangan lupa doa perjalanan”
Kali ini aku pula mengingatkan. Suamiku kelihatan akur dengan nasihatku. Barangkali disebabkan dia yang memandu. Aku pernah dengar teori dari seorang rakan setugasku di SK Marian Convent, Ipoh. Sebelum kita diminta lebih baik kita meminta. Sudah berbelas tahun aku mengajar di sekolah luar bandar, itulah sekolah bandar pertama yang memberikan banyak pengalaman buatku. Mengajar di sekolah bandar dengan murid pelbagai bangsa sebenarnya sungguh mengujakan.
Tetapi aku merasa puas berbakti dengan mengajar murid-murid pelbagai bangsa. Kanak-kanak memiliki idealisma mereka tersendiri. Tetapi mereka mempunyai perasaan yang hampir sama. Ingin perhatian dan disayangi. Guru yang dedikasi bukan sentiasa perlu memberi ikan, sebaliknya selalu memberikan joran. Mereka amat menghargai ilmu. Malah fikiran pelajar-pelajar era millenium ini terlalu pantas melewati usia matang. Pernah seorang pelajar berbangsa India bertanyakan sesuatu kepadaku.
“Cikgu, kenapa cikgu masih tak kahwin?”
Aku tersentak dengan pertanyaan itu. Apakah yang dimaksudkan oleh pelajarku? Apakah aku yang telah mempunyai anak tiga ini masih kelihatan anggun bagai anak dara enam belas tahun? Aduh, serasa aku ingin bersegera balik ke rumah serta menatap cermin muka besar sepuas hati. Masih muda remajakah wajahku? Berkali-kali aku cuba meratakan kedutan pipi ini agar dapat kuselarikan dengan telahannya. Namun aku harap tidak terbius dengan kata-kata seakan pujian yang melangit itu. Aku mungkin keliru.
“Kenapa Devi? Adakah Devi lihat cikgu seperti anak dara?”
“Tidak cikgu, bukan begitu. Saya perhatikan cikgu lain pulang dijemput suami tetapi cikgu selalu pulang sendiri. Saya ingat cikgu mesti belum kahwin.”
Aduh, sungguh perit untuk kuterima kenyataan ini. Satu ilmu kemanusiaan dari seorang muridku sendiri. Apabila kusampaikan kisah itu kepada suamiku, esoknya dia memohon cuti untuk menghantarku ke sekolah. Sebuah pengorbanan yang kurasakan cukup bermakna dari seorang penjawat awam yang sentiasa berperang dengan masa. Terima kasih Devi. Kau memberi joran kepada suamiku.
***
“Mimie, kita dah sampai!”
Sayup-sayup aku mendengar suara suamiku. Aku mencari-cari kertas itu. Aku ingin pastikan kertas itu tidak ketinggalan. Aku menggosok mata yang tak gatal. Rupanya aku telah terlena panjang. Aku melihat bangunan UPSI telah berada di depan mata. Jam kereta telah menghampiri 8.30 pagi. Sekali lagi aku menghafal panggilan UPSI. Menjadi pelajar sarjana muda, program pengsiswazahan guru pendidikan jarak jauh. Hari ini bermula langkahku.
“Dewan Canselori, UPSI, jam 8,30 pagi.”


Karya:
Zulhai Affendy
1 Oktober 2011

No comments: