SEBUT saja ular pasti ramai yang bukan saja berasa geli, tetapi tidak kurang yang gerun dengan reptilia ini, khususnya yang jenis berbisa kerana mampu membunuh dengan cuma satu patukan saja.
Namun, tahukah anda di pelusuk mana dunia yang menjadi lubuk maut reptilia ini? Pasti ramai yang menuding ke arah Amerika Selatan, khususnya di hutan belantara Amazon yang diketahui antara hutan tertua dengan pelbagai spesies berbisa menjadikan kawasan ini habitatnya. Andai itu jawapan anda, terbukti sangkaan anda meleset sama sekali. Ini disebabkan lubuk ular itu terletak di kawasan yang amat hampir dengan kita iaitu di kawasan Asia Selatan. Inilah hasil laporan kajian terbaru ke atas 68 negara yang menunjukkan Asia Selatan menjadi lubuk patukan ular tertinggi di dunia iaitu kira-kira 421,000 orang dipatuk setiap tahun! India yang didiami lebih satu bilion penduduk, menjadi negara yang mencatatkan kes patukan maut atau biasa yang tertinggi di dunia iaitu 80,000 kes setahun. Daripada jumlah itu, 11,000 kes menyebabkan maut.Sri Lanka pula menduduki tempat kedua dengan 33,000 orang dipatuk ular setahun. Anehnya, sebahagian besar mangsa adalah lelaki. Ini mungkin berkaitan dengan faktor golongan itu yang lebih ramai bekerja mencari rezeki berbanding kaum wanita. Saintis Universiti Kelaniya di Sri Lanka, Janaka De Silva yang mengetuai penyelidikan itu bagaimanapun menegaskan bilangan 421,000 kes patukan ular itu hanyalah anggaran kasar dan jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
No comments:
Post a Comment