
Kebiasaannya, sebelum seseorang anak lahir ke dunia, ibu dan bapa sudah berkira-kira untuk mencari nama yang sesuai untuk anak yang tersayang. Mencari nama yang baik bukan untuk mendapat pujian atau untuk melambangkan status sosial dan seumpamanya. Tetapi ia adalah satu ibadah yang dituntut oleh agama.
Abu Dawud telah meriwayatkan dari Abu Darda’ r.a. katanya, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu pada Hari Kiamat, maka perelokkanlah nama-nama kamu.”
Memperelokkan nama bermaksud memilih nama yang selari dengan tuntutan Islam. Memilih nama perlu ada tujuan. Bukan sekadar untuk memudahkan panggil atau untuk menggabungkan nama ibu dan bapa serta datuk-datuk dan nenek-nenek, bahkan ia berkaitan dengan soal pembentukan peribadi anak itu. Bukankah panggilan itu mengandungi doa. Setiap orang yang memangilnya, dikira membuat doa untuknya.
Malangnya hari ini, terdapat segelintir masyarakat yang kurang mengambil berat soal nama. Ada yang memilih nama yang kelihatan indah tetapi hakikatnya tidak mempunyai apa-apa erti, atau lebih malang lagi ia membawa erti yang negatif. Mereka suka nama-nama yang nampak moden seperti Natasya, Zana, Susan, Hyfa, Dayanty atau seumpamanya. Lebih menyedihkan lagi, jika nama-nama itu ditiru atau diambil nama-nama orang kafir.
Ada juga yang menggabungkan nama ibu dan bapa untuk nama anak. Mereka lakukan tanpa mengambil kira maksud gabungan perkataan itu . Contohnya, ibu yang bernama Safrina dan bapa bernama Ihsan, anaknya diberi nama Safih Insan, yang bermakna ‘Manusia yang Bodoh’. Kadang-kadang nama yang digabungkan itu menjadi panjang tanpa sebarang erti seperti Nor Sajamifulah Niruszam atau seumpamanya.
Nota kaki:
Masih ada juga tabiat buruk masyarakatku suka menggelar seseorang dengan gelaran lucu, mengejek atau menghina walaupun hujah mereka untuk pengenalan khusus seseorang disebabkan ramai mempunyai nama yang sama dalam satu kampung. Panggilan Man Juling, Dol Buncit, Mat Toyol dan sebagainya adalah panggilan biasa digunakan. Aku pun pernah mendapat gelaran buruk waktu kecil-kecil dulu hingga terbawa-bawa panggilan nama itu oleh mereka kurang terpelajar atau tidak mahu ambil tahu dengan amaran Nabi SAW.
Ikuti perbincangan lanjut dalam:
http://abimuslih.wordpress.com/2007/07/26/nama-nama-yang-baik-buruk-dan-yang-melucukan/
No comments:
Post a Comment