Dah hampir sebulan duduk berleka Tidak berpantun, bersyair, berseloka Bukan dek malas atau tak bermasa Cuma ilham tak kunjung tiba Sekarang aku cuba menggagahi Dengan bersyair yang aku sukai Tanpa berpunca dari sanubari Di situ perlu aku kan lalui Lembar demi lembar makalah ini ku buka Nyatalah berbakinya tak berapa muka Ingin dipenuhi kosongnya segera Agar tersimpan cepat kat para Bacalah, amatilah adik dan kakak Isi kandungannya yang bagini banyak Pilih saja yang mana mustahak Kiranya tak berguna usahlah dicampak Aku ingin di sini merakamkan Tatkala membaca yang dipaparkan Tersigung diri berilah kemaafan Usahlah marah usah diberi cacian Peram saja ke dalam kalbu Banyakkan sabar ketika itu Berhentikan membaca kiranya perlu Bawalah diri mengadap kat pintu Ada lagi yang lebih baik Dalam membaca hati terusik Ke bilik air pergilah copek Mandi berwuduk solat dibuek Ini pesan dari rang tua Maklum umur dah lanjut usia Dah mengalami banyak perkara Demikian perjalanan dah merata-rata Adat orang dah banyak ditengok Loghatnya berubah perlu ku masuk Di utara di selatan tok dah masuk Padakan perangai kita nak elok Di mana langit kita junjung Di mana bumi kita mencangkung Laku kita jangan menyombong Buatan kita usahlah serong Di mana saja tersigung kan tiba marah Bila dilayan kan bertambah parah Kerap di sana iblis mencelah Tujuan yang baik mungkin berubah Banyak pendapat yang mengatakan Marah itu api diumpamakan Maka api air yang memadamkan Dengan berwuduk marah disiramkan Hendaknya sabar kekal berserta Dalam diri di mana saja berada Orang yang sabar Tuhan berseta (berserta) Kenyataan ini dalam Quran tertera Tentang bersyair apalagi membaca Tulisan sendiri atau orang mencipta Sejak dulu amatlah sukanya Tidak berkira apa pun bahasanya Nenek bersyair aku mendengar Lagunya merdu amat ku gemar Hingga sekarang masih ku hafal Ada kalanya pada murid ku ajar Syair berdah dan juga berzanji Berbahasa arab memuji nabi Dapat ku lagukan bersama qari Terutama di malam orang berkenduri Demikian bersyair dikatakan bernazam Dilagu didendang kat budak berkhatan Atau diindoikan kat anak berandam Di sana dipotonglah kambing dan ayam Kenduri kahwin kini berkompang Membaca syair turut didendang Tua dan muda di sana tercengang Oleh lagunya amat sesuai sekarang Aku sendiri memimpin sebuah kumpulan Dikenali nama Nasyid Almizan Syairnya ku karang mengikut edaran Cuma lagunya saja dari saringan Kumpulan ini satu ketika Sudah naik kepuncak menara Menjadi johan seluruh felda Berturut-turut dua tahun berjaya Demikian sukanya aku kat syair Menulis membaca di mana hadir Menyanyikan nazam di dalam musafir Terutama lagu-lagu padang pasir Kepada adik, kakak dan kawan Tatkala membaca maulah diteruskan Eloknya sebuah bukunya ditamatkan Di sana kan bertemu satu kepuasan Banyak orang mencari hiburan Berkongsi ke pantai dengan rombongan Mendaki gunung dengan banyak cabaran Ke taman bunga di hari-hari percutian Ada lagi hiburan orang Ke panggung wayang ke tasek berenang Memancing ikan memungut kerang Berpesta, berkelah duduk bersenang Aku jo memilih satu kesukaan Dengan menulis mencipta keindahan Biarpun terperuk berhari-harian Sukanya tamat satu nukilan Setakat ini dah siap tiga jilid Buku syair yang dah ku catit Dua antaranya dah pun bertaip Mungkin yang ini pula menjangkit Syair, pantun, nazam, seloka Cerpen, sajak, novel, derama Antaranya cabang dari sastera Terkandung dalam budaya bangsa Berkembangnya sastera sejak dahulu Demikian juga syair turut maju Digemari pembaca dengan berlagu Apa yang terkandung menikam kalbu Kiranya syair mahu diketepikan Oleh generasi kini yang membencikan Seertilah juga menolak kebangsaan Hilang bangsa hilanglah ketuanan Hidup bangsa tegal budaya Gambaran seseorang walau di mana Di kenali dia dari bangsa apa Oleh gayanya tinggal di sana Kini syair ditulis huruf rumi Dulu orang menggemari huruf jawi Tegal rumi budaya kan mati Kerana jawi huruf melayu sejati Itu ertinya budaya nak hilang Tulisan melayu tinggal terbuang Kelak bangsa ku tak boleh temberang Memiliki huruf kepunyaan orang Orang dah heran melihat aku Menulis jawi setiap waktu Membeli majalah atau pun buku Bertulis rumi bacaan ku selalu Menulis rumi bukanya tak mengerti Membaca jawi bukan tak meminati Cuma diri ini amat menyedari Masa diikut budaya dihormati Wahai anak dan jua cucu Di mana tegak sesuaikanlah diri mu Usah dipertahankan masa berlalu Budaya mu baik gilaplah selalu Perlulah diingat oleh semua Mengutip menambah pengisi dada Dengari nasihat orang tua-tua Mungkin nasihatnya ada yang berharga Usah ditelan dek dia tu baru Jangan dibuang dek lamanya di situ Ambil yang baru mana yang perlu Pilih yang lama yang masih laku Terutama sekali sastera kita Banyak terdapat di mana saja Jadikanlah bacaan setiap masa Terutama syair bercorak ugama Kalau perlu bertulisan jawi Bacalah, tatapilah dengan teliti Kalau hurufnya tak dikelani Ikhtiarkan belajar guru dicari Fakir memang mudah berleter Terutama nasihat kat mana yang hadir Ada yang meluat tanpa berfikir Cepat berundur mulut membebel Sebanyak mana yang nyatanya benci Masih ada pula yang menyukai Seperti jua syair ku ini Fakir berusaha untuk berbakti Suka tak suka jalan ku lalu Baca tak baca biarkan saja di situ Mungkin ketikanya ada yang lalu Hatinya tertarik nak melihat buku Dari yang banyak-banyak dia yang buruk Terletak jauh terperuk di ceruk Entah-entah Tuhan nak beri petunjuk Buku yang buruk terus ditengok Bersinar sama intan dan kaca Dapat dibezakan dek banyak membaca Berharga tidaknya sesebuah benda Manikam dikenal dek jauhari saja Biarlah dianggap mutunya kerdil Tidak berguna dijadikan dalil Terpulang saja kat Rabbul Jalil Menghakimi buktinya dengan adil Sudah sampai pada ketikanya Untuk menutup pada hujungnya Sebelum di tutup pada tempatnya Hanya sedikit hamba meminta Kepada pembaca yang tinggi darjat Samada jauh atau pun dekat Sepuluh jari fakir mengangkat Mohon dimaaf tersalah terkhilaf Mana yang elok usahlah dipuji Serahkan saja kepada Rabbi Mana yang buruk usah dikeji Sifat insan salahnya dah pasti Oh Tuhan demikain adanya Selama ini hamba mu meneroka Mengarang syair ingin berjasa Mana yang baik dikau yang punya Syafaat Nabi mu Rasul pilihan Berpandu aku Hadis dan Firman Fakir bersedia menambah pengetahuan Sebanyak mana Tuhan ku kurniakan Demikian ini saja adanya Selamat berbahagia pembaca semua Dunia Akhirat kekal bersaudara Bertaqwa, beriman selama-lamanya.
Inginku catatkan di sini. Allahyarham Alif Mokhtar adalah guru penulisanku, ustazku untuk merujuk masalah fardu ain dan kifayah malah bapa saudara yang ku kasihi. Al-Fatihah.
Ihsan dari:
http://www.geocities.com/imnogman/





No comments:
Post a Comment